Keputusan permohonan UPU program Ijazah Sarjana Muda
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Aug 10, 2016, 04:01 pm
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia mengumumkan keputusan permohonan ke Universiti Awam (UA) untuk lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi sesi akademik 2016/2017. Keputusan boleh disemak bermula 8 Ogos dan seterusnya.

Pemohon boleh menyemak keputusan dengan melayari laman portal utama UPU. Pelajar juga boleh menyemak keputusan dengan menghantar SMS ke 15888 dan taip UPU RESULT (no. K/P). Calon juga boleh menghubungi 03-88706767 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Profesor Dr Asma Ismail, sebanyak 58,011 permohonan diterima dan 94.2% permohonan memenuhi syarat am kemasukan ke UA.
Daripada keseluruhan calon yang layak, sejumlah 39,862 (73%) calon diberikan tawaran dan 3,873 calon dengan CGPA 4.00 mendapat tempat di UA.
"Pihak Kementerian mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya menerima tawaran," kata Dr Asma dalam pengumuman beliau.
Kemasukan ini melibatkan 18 buah UA dengan penyelarasan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar JPT. Tawaran tidak termasuk kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang menggunakan proses kemasukan sendiri.
Surat tawaran rasmi akan diberikan pada 9 Ogos dan calon yang berjaya perlu memberi pengesahan kepada UA dalam masa 10 hari. Hari terakhir pengesahan adalah pada 22 Ogos.
"Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web UA", ujar Dr Asma.
Mengulas mengenai pemilihan calon, beliau berkata pemohon perlu memenuhi merit dan syarat program yang dipilih mereka. Jika calon tidak mencapai merit yang telah ditetapkan untuk program tersebut, mereka tidak akan berpeluang untuk menerima tawaran.
Menurut Dr Asma, pemohon perlu menjangkakan saingan yang tinggi daripada pemohon lain dan ada kemungkinan untuk mereka tidak mendapat tawaran daripada UA yang dipilih.
Calon yang tidak berjaya
boleh membuat rayuan melalui UPU Online e-Rayuan di
http://upu.mohe.gov.my.
Rayuan boleh dibuat dalam tempoh lima hari bermula 8 Ogos pada tengah hari sehingga 12 Ogos, 11.59 tengah malam. Keputusan rayuan adalah berdasarkan tempat kosong untuk program pengajian yang dipilih pelajar. Jika tiada jawapan diterima sehingga 13 September, rayuan dikira gagal. Keputusan rayuan akan diumumkan pada 25 Ogos dan 13 September.
Tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah pada 28 Ogos hingga 4 September.
Pihak Afterschool mengucapkan selamat berjaya kepada semua pemohon. Tahniah diucapkan kepada calon yang telah mendapat tawaran di UA. Kepada yang sedang dalam proses membuat rayuan, kami berharap rayuan anda berjaya! Sedikit kata-kata nasihat daripada kami, jangan kita hanya terpaku pada pintu yang tertutup, sehingga tidak melihat masih ada pintu lain yang terbuka.